LONDON – Max Verstappen mengakui bahawa Red Bull mungkin bukan lagi pasukan pilihan utama merebut gelaran dunia pada musim 2025 selepas bergelut dengan masalah jentera pada musim 2024.
Walaupun berjaya mengekalkan gelaran dunia pada 2024, Verstappen menjelaskan prestasi pasukannya semakin menurun pada separuh kedua musim lalu.
Disebabkan masalah tersebut, Red Bull kehilangan gelaran kejuaraan pengeluar selepas hanya mampu berada di kedudukan ketiga keseluruhan dan gelaran tersebut menjadi milik pasukan McLaren dan Ferrari berada di kedudukan kedua.
“Saya tidak menjangka kami akan menjadi pasukan pilihan untuk musim depan, tetapi ini saya suka dengan cabaran ini.
“Musim 2024 memberi kami amaran supaya sentiasa fokus dan tidak mengambil mudah. Kami perlu berusaha keras untuk kembali ke tahap tertinggi,” kata Verstappen.
Red Bull menghadapi masalah dengan kereta RB20 mereka pada musim lalu, walaupun beberapa penambahbaikan telah dilakukan.
Verstappen mengakui bahawa kereta yang dibina Red Bull tidak mencapai tahap yang sama seperti sebelum ini dan menyukarkannya untuk mengejar McLaren dan Ferrari.
“Kereta kami semakin baik, tetapi masalahnya belum selesai sepenuhnya. Saya yakin jika kami dapat menyelesaikan isu-isu utama, kami boleh meningkatkan prestasi.
“Perlu diingat, Lando Norris semakin kuat bersama McLaren dan mereka semakin kompetitif. Musim depan pasti mencabar. Apapun, saya hanya mahu menikmati perlumbaan dan meletakkan kepercayaan kepada pasukan,” tambahnya. – AGENSI