MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim terus berdepan kesukaran apabila berkemungkinan besar tidak berpeluang untuk mendapatkan pemain baharu pada jendela perpindahan musim sejuk kali ini.
Selepas empat kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris termasuk tewas 0-2 kepada Newcastle United di Old Trafford kelmarin, United jelas tidak mampu bergantung harap kepada pemain sedia ada dan perlu melakukan rombakan dengan membawa masuk pemain baharu.
Bagaimanapun, mereka mungkin terpaksa menghabiskan musim ini dengan apa yang dimiliki kerana sebarang pembelian pemain baharu bakal menyebabkan mereka berdepan kesan pelanggaran Peraturan Keuntungan dan Kestabilan (PSR) hingga dipotong mata.
Pada musim panas lalu, United telah membelanjakan sebanyak £200 juta (RM1.12 bilion) untuk membawa masuk pemain baharu dan mereka perlu menjual beberapa pemain terlebih dahulu pada jendela perpindahan bulan ini untuk membolehkan mereka mendapatkan pemain baharu.
Namun, satu-satunya cara yang mereka mampu gunakan adalah dengan mengaktifkan pilihan ‘kemudahan pinjaman’ yang mampu meningkatkan dana untuk mereka mendapatkan pemain baharu.
Pilihan tersebut dianggap sebagai pinjaman yang boleh dilakukan oleh pihak kelab, namun memerlukan mereka melunaskannya dalam tempoh tertentu, tetapi semua bergantung kepada ‘lampu hijau’ yang diberikan oleh Sir Jim Ratcliffe yang mengetuai unit bola sepak United.
Ia merupakan pilihan terdesak yang boleh digunakan, tetapi meletakkan United dalam bahaya apabila bakal dipantau oleh agensi yang mengawal PSR, malah Chelsea sebelum ini pernah menggunakan pilihan tersebut sehingga meletakkan mereka dalam tekanan untuk memastikan keseimbangan kewangan kelab untuk tempoh beberapa musim. – AGENSI