LIVERPOOL – Pasukan Liverpool dilihat bertegas untuk menutup segala pintu ‘keluar’ buat pertahanan sensasi, Trent Alexander-Arnold pada jendela perpindahan bulan ini selepas kelab La Liga, Real Madrid bersedia untuk melakukan tawaran rasmi.
Sebagai rekod, kontrak Arnold bersama The Reds bakal berakhir pada penghujung musim ini dan pemain antarabangsa England itu dibenarkan untuk berbincang dengan mana-mana kelab secara terbuka.
Pihak pengurusan The Galacticos dilihat tidak sabar untuk mendapatkan khidmat Arnold lebih awal kerana mahu menguatkan pasukan terutama di posisi bek kanan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Dani Carvajal yang berehat panjang.
Namun, Liverpool yang kini dikendalikan oleh Arne Slot enggan melepaskan Arnold lebih awal memandangkan pasukan dalam misi memburu gelaran quadruple pada kempen musim ini.
Malah, pasukan The Reds juga tidak mempunyai masalah untuk melepaskan khidmat Arnold secara percuma sekiranya pemain berusia 26 tahun itu terus enggan menandatangani kontrak lanjutan yang ditawarkan dalam masa terdekat.
Selain Arnold, dua lagi tonggak penting Liverpool musim ini, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk turut menghadapi situasi sama apabila kontrak mereka bakal berakhir secara rasmi pada Jun depan.
Slot sebelum ini mengesahkan dirinya tiada kuasa untuk menghalang mana-mana pemain untuk berbincang dengan pengurusan lain pada bulan ini dan lebih baik fokus membantu pasukan mengekalkan momentum kemenangan. – AGENSI