JELEBU – Terdapat dua calon persendirian yang berusia melebihi 60 tahun menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Negeri Sembilan tahun ini.
Mereka antara 16,929 jumlah calon keseluruhan SPM 2024 dengan peningkatan 952 calon atau (6.0 peratus) berbanding 15,977 calon SPM 2023.
Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan Penjabat Pendidikan Daerah, Putra Hashim berkata, dua calon persendirian berkenaan ialah Abdul Kadir Tapre 63, yang mendaftar tujuh mata pelajaran sementara Johan Hamzah 62, mendaftar tiga mata pelajaran dengan masing-masing mengambil kertas peperiksaan di Pusat SM Summit 2 di Seremban.
Menurutnya, peperiksaan SPM 2024 di Negeri Sembilan berlangsung di 145 pusat peperiksaan membabitkan seramai 901 petugas peperiksaan.
“Daripada keseluruhan calon SPM, seramai 14,824 adalah pelajar Sekolah Kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA (412), sekolah Kerajaan Negeri (53), sekolah swasta (755), calon persendirian (804) dan Sekolah Agama Rakyat (81).
“Seramai 10 calon terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban; Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Hospital Selayang, KPJ Seremban, Hospital Rembau, Hospital Jempol, Hospital Tampin dan Hospital Port Dickson kerana masalah kesihatan dan kemalangan,” katanya selepas meninjau meninjau hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Jelebu Kuala Klawang, Jelebu di sini hari ini.
Menurutnya lagi, terdapat 62 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang mempunyai masalah pembelajaran, orang kurang upaya (OKU) pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal dan pelbagai yang lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE