TANAH MERAH – Dua peniaga tidak sempat menjual sebanyak 32 kilogram (kg) produk sejuk beku iaitu ayam susu yang diseludup dari Thailand di pasar malam selepas mereka dicekup di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Bunga di sini pada 22 Disember lalu.
Kedua-dua individu yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan semasa menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Ketua Pintu Masuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan di Bukit Bunga, Zamri Mat Nawi berkata, pemeriksaan di dalam but kereta itu membawa kepada penemuan 32 paket ayam susu bernilai RM400 yang diseludup dari Thailand.
Menurutnya, siasatan mendapati, kesemua produk itu tidak mempunyai permit import Maqis, Sijil Kesihatan Veterinar dan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(Jakim).
“Ayam susu yang dirampas itu dipercayai untuk dijual di pasar malam. Kedua-dua individu itu dibebaskan selepas Maqis merampas kesemua ayam susu itu.
“Maqis akan terus melaksanakan penguatkuasaan terhadap barangan seludup bagi mengelak isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan haiwan perosak,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. – KOSMO! ONLINE