KUALA TERENGGANU – Dua lelaki berjaya diberkas dalam tempoh 24 jam selepas dipercayai meragut seorang wanita di Jalan Sultan Muhammad berhampiran Gong Kapas di sini pada kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8.18 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 26 dan 27 tahun itu dipercayai meragut beg tangan mangsa yang merupakan seorang pegawai perkhidmatan pelanggan sebuah syarikat berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, wanita terbabit yang sedang berjalan kaki berhampiran sebuah premis perniagaan di lokasi kejadian berkenaan sebelum tiba-tiba ditolak oleh kedua-dua suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha NVX.
“Salah seorang daripada suspek kemudiannya melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi telefon bimbit, pengecas bateri telefon bimbit, kunci kereta dan dompet berisi dokumen peribadi dan kad bank.
“Mangsa juga mengalami kecederaan pada bahagian lutut akibat ditolak suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, perbuatan kedua-dua suspek meragut mangsa telah dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berhampiran seterusnya membawa kepada penangkapan mereka.
Beliau berkata, suspek pertama berusia 26 tahun berjaya ditahan di Jalan Panji Alam di sini pada pukul 4 petang, kelmarin.
“Hasil soal-siasat terhadap lelaki itu, suspek kedua berusia 27 tahun pula berjaya ditangkap di Kampung Seberang Baroh di sini.
“Pemeriksaan juga menjumpai semula sebahagian barangan milik mangsa seperti kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan dompet,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE