KUALA LUMPUR – Seramai 21 remaja yang menunggang basikal secara berbahaya dikenakan denda ketuk ketampi secara sukarela selepas ditahan dalam sekatan jalan raya di sekitar ibu kota di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan PenguatkuasaanTrafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, semua remaja berusia dalam lingkungan 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam ketika sekatan jalan raya operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kuala Lumpur bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut terlibat dalam operasi itu ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Beliau berkata, tindakan boleh diambil ke atas mereka di bawah peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Lalulintas (Kaedah 42) LN 165/59 iaitu sekatan ke atas penunggang basikal.
“Tindakan sita juga boleh di ambil di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Walaubagaimanapun, seorang Pegawai Kanan JSPT KL bersama seorang Pegawai JPJ mengambil tindakan dengan memberi amaran dan advokasi kepada kumpulan remaja terbabit dengan memberi denda ketuk ketampi secara sukarela dan bersalaman meminta maaf kepada petugas-petugas di sekatan jalan raya itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, kumpulan remaja itu kemudiannya disuraikan dengan peringatan agar tidak menunggang basikal dan terus pulang ke rumah masing-masing.
“Video Tindakan advokasi ini telah menjadi tular dan rata-rata netizen memuji pendekatan budi bicara yang digunakan oleh pihak PDRM dan JPJ daripada mengambil tindakan undang-
undang terhadap sekumpulan remaja ini.
“Tindakan ini secara tidak langsung memberi peringatan kepada kumpulan remaja terbabit supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut,” katanya.
Katanya, advokasi seperti ini juga dapat memberi kesedaran dan membantu pesalah muda memahami undang-undang jalan raya dengan lebih baik.
“Sekaligus memberi peluang kepada pesalah muda untuk memperbaiki diri dan mengelakkan dari melakukan kesalahan yang sama di kemudian hari.
“JSPT KL menasihatkan kepada golongan muda supaya tidak melakukan kesalahan lalulintas dan menunggang dengan cara berbahaya supaya kecederaan atau kemalangan jiwa dapat dielakkan,” katanya.
Katanya, para ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan untuk lebih prihatin dan memantau anak-anak di bawah jagaan supaya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang boleh menyalahi undang-undang. – KOSMO! ONLINE