FULHAM – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca memberi bayangan jelas tentang minatnya terhadap Liam Delap sekali gus menghangatkan spekulasi perpindahan penyerang Ipswich Town itu ke Stamford Bridge selepas ini.
Bintang muda berusia 21 tahun itu semakin menyerlah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan prestasi konsisten yang menarik perhatian banyak pihak termasuk Chelsea.
Dalam pertembungan kelmarin, Delap berjaya menyempurnakan satu sepakan penalti selain mencipta satu bantuan jaringan membantu Ipswich menewaskan Chelsea 2-0 sekali gus membuktikan potensinya di hadapan Maresca.
Maresca yang pernah bekerjasama dengan Delap ketika mereka bersama di Manchester City sebelum ini, memuji perkembangannya yang dianggap sebagai salah seorang penyerang muda terbaik di England.
“Liam (Delap) adalah pemain luar biasa terutamanya pada usia 21 tahun. Ketika kami bersama di City, dia menjaringkan lebih 20 gol semusim.
“Dia mempunyai mentaliti kerja yang kuat, baik dengan bola mahupun tanpa bola. Dia memahami permainan dan mampu mencipta jaringan di saat-saat penting,” ujar Maresca.
Difahamkan, Chelsea kini serius mempertimbangkan Delap sebagai calon utama untuk memperkuat barisan serangan selepas prestasi kurang konsisten Nicolas Jackson dan cabaran Christopher Nkunku untuk menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan.
Langkah membawa Delap ke Stamford Bridge mungkin menjadi permulaan kepada era baharu jentera serangan The Blues dalam memberi nafas segar kepada skuad kendalian Maresca. – AGENSI