SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam maut selepas dipercayai tersepit besi sebuah meja lipat di Taman Seri Putera, Nibong Tebal di sini semalam.
Ketika kejadian, mangsa, Nur Aqifah Humaira Abdullah dikatakan sedang bermain sendirian di belakang rumah sewa keluarganya pada pukul 4.15 petang.
Kejadian disedari oleh ahli keluarganya selepas suara kanak-kanak tersebut langsung tidak didengari mereka.
Ahli keluarga mangsa juga dikatakan cuba mendapatkan bantuan daripada jiran untuk menghantar ke hospital, namun kanak-kanak malang itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar.
Pihak forensik dan pegawai penyiasat melakukan siasatan di lokasi selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut. Mayat mangsa dijangka dibedah siasat pada pagi ini di hospital sama.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. -KOSMO! ONLINE