GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memperuntukkan dana RM946,560 untuk bekalan makanan bagi membantu masyarakat Orang Asli yang terkesan akibat bencana seperti banjir dan ancaman haiwan liar.
Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, sebanyak 6,750 bakul makanan disediakan bagi tempoh dua tahun bermula hujung Oktober 2023 sehingga September lalu untuk penduduk Orang Asli di Kelantan dan Terengganu yang terjejas.
Katanya, pembekalan bakul makanan itu berdasarkan permohonan dan bergantung kepada situasi yang dialami masyarakat Orang Asli yang terjejas akibat bencana alam seperti banjir, kes kecemasan, penularan wabak atau keperluan komuniti setempat.
“Proses penghantaran bergantung kepada situasi semasa dan ia kebiasaannya sampai dalam tempoh tiga hari sekiranya tiada halangan. Jika kawasan terlibat ada masalah terputus hubungan, maka bantuan bakul agak lambat sedikit kerana kita bergantung kepada banyak pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi penghantaran bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di pedalaman Gua Musang menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Padang Kompleks Perdana di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Roslina memberitahu, Jakoa menerima hampir 10 aduan berkaitan ancaman haiwan liar di kawasan perkampungan Orang Asli pada tahun lalu.
Katanya, kes serangan itu melibatkan gajah liar yang memusnahkan tanaman yang diusahakan penduduk.
“Jakoa akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengenal pasti jenis kerosakan dan perkara yang perlu dilaksanakan bagi membantu masyarakat di kampung,” katanya. – KOSMO! ONLINE