KOTA TINGGI – Seorang atlet Johor yang pernah mewakili negeri dalam Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Dato Onn, Bandar Penawar di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.50 petang, mangsa, Nur Hazurah Md Hazahar, 21, yang merupakan atlet pelayaran maut di lokasi kejadian selepas motosikal Yamaha Y15ZR merempuh Perodua Kenari.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila Perodua Kenari dipandu seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun datang dari arah Bandar Penawar telah menukar haluan dari kiri ke kanan dan membuat pusingan U.
“Motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian sisi kanan Perodua Kenari tersebut.
“Akibat kemalangan, mangsa mengalami cedera parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Kenari tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, ketika kejadian, mangsa yang juga pelajar Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam dalam perjalanan ke kelas belajar memandu. – KOSMO! ONLINE