PETALING JAYA – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mengutip kira-kira 3.62 tan sampah di tiga kawasan utama di Kuala Lumpur sempena sambutan ambang tahun baharu 2025.
Tiga lokasi tumpuan orang ramai adalah Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) dengan kutipan sampah dibuat bermula pukul 10 malam hingga 8 pagi keesokan harinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, jumlah kutipan itu mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun dengan tahun lalu sebanyak 3.06 tan iaitu kenaikan sebanyak 18 peratus.
Menurutnya, Dataran Merdeka mencatat jumlah kutipan sampah terbesar sebanyak 1.67 tan, Bukit Bintang (0.93 tan), manakala KLCC pula menyumbang (1.02 tan).
“Kami menggerakkan seramai 141 pekerja termasuk kakitangan pengurusan, pasukan prapembersihan, pemandu dan pekerja am di lokasi-lokasi utama ini.
“Tiga lori kompaktor digunakan untuk kutipan sisa pepejal yang lebih efisien dan pancuran air untuk membersihkan kaki lima terutama di kawasan tumpuan seperti Dataran Merdeka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 24 unit tong sampah berkapasiti 660 liter yang diletakkan di kawasan strategik turut memainkan peranan bagi memastikan usaha perlupusan sampah lebih teratur. – KOSMO! ONLINE