fbpx

[VIDEO] ‘Adik rindu abah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Nur Afiqah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Islah, Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal, petang tadi.

SEBERANG PERAI – Rianafitri Asih, 38, ibu kepada Nur Aqifah Humaira Abdullah, enam tahun, kanak-kanak yang maut selepas lehernya tersepit di celah meja lipat masih terngiang-ngiang suara kecil anaknya itu saat meluahkan perasaan rindu terhadap arwah bapa mereka, baru-baru ini.

Kata wanita itu, dia tidak menyangka Nur Aqifah yang mesra disapa adik itu akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya hari ini, setelah dua tahun permergian suaminya akibat serangan jantung pada November 2023.

“Saya tidak terfikir pula kata-katanya (arwah) itu sebenarnya akan meninggalkan kami buat selama-lamanya.

“Dia (arwah anak) ada beritahu, adik hampir lupa wajah abah, bila tengok gambar di telefon bimbit, adik baru teringat. Adik rindu abah…

“Saya reda dia pergi. Dia memang rindu dekat arwah abahnya. Suami saya meninggal semasa Nur Aqifah berusia empat tahun, ketika itu dia terlalu rapat dan manja dengan abahnya,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pekarangan Masjid Al Islah Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal, di sini petang tadi.

Jelas Rianafitri lagi, Nur Aqifah memang seorang anak yang periang, petah bercakap, gemar berswafoto dan bermain masak-masak.

“Saya memang tidak akan tinggal dia bersendirian di rumah dan akan bawa ke tempat kerja sebaik pulang dari sekolah.

“Tidak sangka kejadian ini boleh berlaku kerana di situ (kawasan berpagar di belakang rumah) merupakan tempat dia bermain masak-masak dan anak patung” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan punca kematian kanak-kanak perempuan enam tahun yang maut tersepit pada meja lipat adalah akibat pembengkakan otak disebabkan kekurangan oksigen.

Mangsa sebelum itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh abangnya pada pukul 4.15 petang semalam sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar, Perak, awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI