fbpx

6 Januari cuti ganti di Johor, SPM berjalan seperti biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZNAN (kanan) beramah mesra dengan sebahagian pelajar tingkatan lima sebelum memasuki dewan peperiksaan pada hari pertama peperiksaan SPM 2024 di SMK Agama Johor Bahru di Taman Johor Jaya, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri bersetuju menetapkan 6 Januari ini iaitu Isnin depan sebagai cuti ganti kepada penjawat awam negeri dan juga persekutuan sempena pelaksanaan cuti hujung minggu di negeri Johor kembali kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin bagaimanapun berkata, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan tetap diteruskan seperti dijadual.

“Untuk 6 Januari ini Johor sememangnya cuti. Itu keputusan diambil kerajaan negeri cuma bagi pelajar SPM mereka akan teruskan peperiksaan kerana tidak mahu ganggu momentum mereka.

“Sementara bagi guru-guru yang bertugas pada hari tersebut, mereka diberi ruang untuk mengambil cuti ganti selepas tamat peperiksaan SPM kelak,” katanya kepada pemberita semasa meninjau pelaksanaan hari pertama SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, di sini hari ini.

Tambah Aznan, peperiksaan SPM 2024 Johor telah bermula dengan lancar di kesemua 376 buah pusat peperiksaan yang ditetapkan melibatkan 5,335 petugas termasuk ketua pengawas, sukarelawan dan guru-guru.

“Sementara itu, peperiksaan SPM melibatkan calon yang mana kediaman mereka terjejas banjir juga berjalan lancar kerana sekolah yang dijadikan pusat peperiksaan tidak terjejas,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu pertukaran cuti hujung minggu Johor kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun ini tidak akan menjejaskan pelaksanaan solat Jumaat melibatkan murid, pelajar dan guru sekolah.

“Kita telah beri ruang rehat yang panjang, waktu persekolahan hari Jumaat juga tamat pada pukul 12 tengah hari, sebelum sesi petang bermula antara 2.30 atau 2.45 petang. Jadi ruang untuk menunaikan solat Jumaat itu memang mencukupi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI