SHAH ALAM – Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) akan memastikan seramai 73,899 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menduduki peperiksaan sehingga 6 Februari depan meskipun banjir.
Menurut Pengarahnya, Dr. Jafri Abu, kesemua 494 pusat peperiksaan setakat ini adalah bebas banjir dengan kesiapsiagaan berada di tahap tinggi dalam menghadapi sebarang kemungkinan berkaitannya.
“Setakat ini, Alhamdulillah tiada yang kita dapat maklumat semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan saya pun sudah bertanya bahawa semuanya bebas daripada banjir buat masa ini.
“Kita pun cuaca Alhamdulillah dan tidak seperti di pantai timur yang dalam keadaan Monsun Timur Laut. Kita pun sudah siap sedia hadapi bencana seperti banjir dan mempunyai langkah serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipertingkatkan Kementerian Pendidikan.
“Jadi, kita akur dan patuh serta akan buat semua yang diarahkan dari masa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau hari pertama SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, berdasarkan rekod juga menunjukkan terdapat kira-kira 25 calon yang berada di hospital di sekitar Selangor selain dua lagi calon di penjara.
Justeru, kata Jafri, pihaknya akan menguruskan apa jua keadaan sekalipun dalam memberikan ruang dan peluang walaupun berada di hospital contohnya untuk menduduki peperiksaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya sentiasa berusaha mengelakkan keciciran atau tidak hadir calon SPM 2024 termasuk telah mengadakan satu program khas iaitu ‘Demi Selangor’
“Kita menyasarkan satu pentadbir satu pelajar dan sekiranya pelajar sekolah tersebut ramai maknanya semua pentadbir akan terlibat untuk bersama-sama menangani masalah ini bagi memastikan mereka dapat ditegur sapa.
“Kita mula pengesanan calon-calon tersebut dengan pelbagai kaedah termasuk wacana prihatin, jom hadir SPM selain kerjasama komuniti dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE