SHAH ALAM – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengesahkan empat kakitangannya tampil memberi keterangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi siasatan penemuan sebuah kenderaan dalam keadaan tidak selamat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, kesemua individu dari cawangan Wangsa Maju itu telah dipanggil memberi keterangan di JPJ Putrajaya.
Katanya, dua daripada mereka bertindak meluluskan pemeriksaan kenderaan itu manakala dua lagi yang mengagalkannya.
“Setakat ini, dua individu telah memberi keterangan kepada JPJ pada 30 Disember lalu manakala dua lagi dipanggil pada hari ini.
“Sehingga kini, Puspakom juga belum menerima sebarang tindakan saman daripada JPJ sepanjang operasi mengejut yang dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di Puspakom Shah Alam di sini, petang ini.
Menurut Mahmood, pihaknya setakat ini berpuas hati dengan keterangan dua kakitangan yang terlibat dalam dakwaan itu dan tiada sebarang rekod buruk integriti sebelum ini.
“Namun, kita tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas ke atas kakitangan yang didapati terlibat dalam apa jua kesalahan termasuk unsur rasuah.
” Jika tiada kesalahan sebelum ini, kita akan memberi amaran lisan dan bertulis. Namun, kalau ia keterlaluan, kita akan membuang pihak terlibat,” ujarnya.
Tambah beliau, Puspakom sedia bekerjasama sepenuhnya dengan JPJ bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan memelihara integriti sistem pengangkutan negara.
“Puspakom menyambut baik kerjasama JPJ dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memeriksa dan memantau bengkel berdaftar atau bengkel tidak berlesen yang disyaki terlibat dalam isu sewa komponen kenderaan perdagangan.
“Kita akan akur kepada semua arahan baharu selaras usaha membanteras pemilik kenderaan perdagangan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Mahmood menafikan dakwaan tujuh kenderaan disita JPJ dalam kawasan Puspakom namun ia hanya melibatkan sebuah kenderaan disita di Puspakom Wangsa Maju.
“Sebanyak 104 kenderaan yang disita di Perak sebenarnya berada di luar kawasan Puspakom dan ia masih belum lagi diperiksa.
“Setakat ini, lebih 40 cawangan telah diserbu termasuk yang diperiksa melibatkan cawangan Glenmarie, Shah Alam dan Seremban, Negeri Sembilan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE