KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 35 unit kenderaan seludup dari Thailand melibatkan nilai RM7.79 juta termasuk cukai bermula Januari hingga November lalu.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata, rampasan berkenaan dilakukan menerusi beberapa siri operasi bagi mengesan kenderaan yang diseludup dari negara jiran.
Menurutnya, kesemua kenderaan itu didapati tidak mematuhi prosedur pengimportan kerana tiada permit import dan dokumen pengimportan tidak dapat dikemukakan.
“Kenderaan itu dijual di pasaran tempatan menggunakan nombor pendaftaran model kenderaan sama yang telah berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Dalam perkembangan sama, Wan Jamal Abdul Salam berkata, pihaknya turut merampas sebanyam 150,000 batang rokok seludup bernilai RM129,000 termasuk cukai dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam di Pulau Tengkorak, Pengkalan Kubor, Tumpat pada 20 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE