BILA munculnya tahun baharu, sejenak diri ini dibawa kembali ke tahun 1993. Waktu itu muda remaja benar.
Belajar di sebuah universiti di Bangi – di persimpangan mencatur kehidupan. Antara subjek sejarah atau komunikasi mana satu pilihan? Antara profesion keguruan yang menjadi rebutan ramai mahasiswa atau jurnalis – yang belum ketahuan jaminan hidup berkeluarga.
Apa lagi ongkos pendapatannya. Juga, tiada langsung kerjaya itu meniti di bibir nasihat mak bapa sang pelajar.
Namun, waktu itu ikut naluri kata hati. Lantas mahu diterjun suatu yang baharu – menjadi pemberita. Bak bait-bait lagu Que sera sera “apa yang terjadi, terjadilah”, pendek kata, ‘masa hadapan di luar kawalan’ maksud lagu dendangan Doris Day (1956) ini. Diranduk sahaja saya cabaran mendatang. Misinya – redah risiko kehidupan dan lepasinya.
Dan diam tak diam sudah tiga dekad bergelumang bidang jurnalisme ini. Masih tega, tetap teruja dalam usia separuh abad ini dengan kejutan berita-berita scoop.
Hakikatnya, azam mesti ada pada diri setiap kita dalam memburu impian.
Tanpa dorongan itu, kita hilang punca. Kelak tidak pasti berdetik yang mana jarum pendek atau jarum panjang jam. Siang malam sama sahaja.
Apa azam Tahun Baharu 2025? Untuk masa depan yang lebih tenang, cerah mengharunginya, elok sisihkan segala ‘toksik’ yang selama ini menyekat perkembangan minda. Realitinya cara hidup telah terbukti sebagai indeks petunjuk atau lambang penentu capaian seseorang.
Peningkatan umur seseorang bak kata Inggeris-Amerika is not big deal. Jika badan sihat dan minda masih aktif, tiada apa yang boleh dianggap pengaral – walaupun usia 50an itu tandanya sedang meniti usia senja.
Dan sesekali tolehlah ke tahun-tahun yang berlalu.
Semenjak umur mentah hinggalah kini, edaran zaman sentiasa diamati. Pekelilingan yang berubah dan nilai hidup yang bersilih ganti. Anak-anak yang dulu ditimang, kini sudah besar panjang.
Kulit di badan sudah mula kendur. Langkah yang panjang kini sudah gontai. Selera nan tajam sudah mulai menurun.
Namun, dunia terus berputar, zaman terus beredar dan kehidupan terus menuntut untuk diisi. Yang mati, yang hidup, yang lahir, yang membesar, yang kahwin, yang bercerai, yang merana, yang bahagia – ini semua mendalilkan bahawa hidup ini terus berubah. Perlu sentiasa berevolusi.
Perbetulkan yang biasa, biasakan yang betul. Hidup hari ini menuntut kreativiti, kesungguhan dan keberanian menjayakannya. Tekad berhijrah jika itu yang terbaik. Lakukan perkara-perkara yang telus dan betul.
Ikut sahaja kata Bernadya, si ratu streaming Indonesia – untungnya bumi masih berputar buat dirinya tidak mengalah.
Bangkit lebih yakin bergaya melangkah dari hidup lepas yang ‘menggerutu’ gagal. Hidup harus tetap berjalan.
Semenjak 1993 diri ini tetap setia dan teruja bergelumang bidang ini – mencatat rentak, cabaran dan sejarah kehidupan. Tiap wajah berkisah. Tiap madah bererti. Fikirkan sahaja hal-hal baik yang datangnya belakangan.
Selamat Tahun Baharu 2025.