MELAKA – Seramai 147 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja pada tahun lalu berbanding 139 orang bagi tempoh sama 2023.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, daripada jumlah itu seramai 64 orang ditamatkan perkhidmatan atas kesalahan dadah diikuti masalah integriti (56), jenayah (24) dan rasuah (tiga).
Kata beliau, bagi kesalahan syariah, dua pegawai dikenakan tindakan turun pangkat kerana menjalinkan hubungan intim dan poligami tanpa kebenaran.
“Kesalahan tertinggi dikesan adalah melibatkan narkotik seperti memiliki, mengedar dan positif dadah membabitkan seramai 64 orang. Kesalahan lain yang membawa kepada tindakan buang kerja adalah integriti, sabitan kes jenayah dan rasuah.
“Sementara itu, sebanyak 1,957 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) dan 1,373 Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) melibatkan warga PDRM telah dibuka setakat November tahun lepas. Dalam tempoh sama, seramai 1,212 orang telah dikenakan tindakan tatatertib,” katanya pada sidang akhbar Majlis Serah Tugas Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Terdahulu, Azri menyaksikan serah terima tugas antara Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dan pemangkunya, Datuk Md. Nazri Zawawi berkuatkuasa hari ini.
Tambah Azri, sehingga November tahun lalu, JIPS telah melakukan sebanyak 551,863 pemeriksaan pematuhan diseluruh negara dan mengesan lebih 5,150 kelemahan petugas di lapangan.
Menurutnya, Cawangan Risikan dan Operasi JIPS telah melaksanakan tangkapan ke atas seramai 111 orang pegawai polis sepanjang tempoh berkenaan.
“Sebanyak 49 tangkapan melalui serbuan maklumat dadah dan daun ketum diikuti perjudian, pemerasan, hidup mewah dan hubungan intim (32) serta pelacuran dan pusat hiburan (30),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE