KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu agresif membanteras aktiviti mengubah suai motosikal secara ekstrem dipercayai berkaitan dengan kegiatan ‘rempit’ serta berlumba haram yang kembali berleluasa di negeri ini sejak tiga bulan lalu.
Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, pemeriksaan sejak dua bulan lalu mendapati sebahagian besar daripada 6,267 notis kompaun trafik yang dikeluarkan berkaitan kesalahan mengubah suai motosikal tanpa spesifikasi dibenarkan.
“Antara kesalahan yang kerap dilakukan ialah mengubah suai kapasiti seseran enjin bagi meningkatkan kelajuan, penggunaan tayar terlalu kecil dan ekzos bagi menghasilkan bunyi kuat melebihi had dibenarkan.
“Trend menggubah suai enjin motosikal secara ekstrem ini dilihat semakin berleluasa di Terengganu sejak bulan September lalu,” katanya ketika ditemui sewaktu mengetuai Ops Khas Motosikal di Jambatan Sultan Mahmud di sini malam tadi.
Operasi serentak sempena ambang Tahun Baharu 2025 itu melibatkan 139 anggota penguat kuasa JPJ yang bertugas di seluruh negeri ini.
Zamri berkata, berdasarkan soal siasat, pemilik motosikal terbabit mendakwa pengubahsuaian ekstrem itu dilakukan secara suka-suka untuk kepuasan diri, malah komponen motosikal terbabit amat mudah dibeli secara dalam talian.
“Begitupun kita syak aktiviti mengubah suai motosikal secara ekstrem ini berkaitan dengan aktiviti perlumbaan haram,” katanya. – KOSMO! ONLINE