PETALING JAYA – Umat Islam perlu berwaspada dengan usaha mana-mana pihak yang sengaja menimbulkan polemik pemikiran keagamaan bagi meraih kepentingan tertentu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya kesal dengan sikap sesetengah pemimpin politik yang sengaja mencetuskan polemik terhadap konsep dan pendekatan Madani yang menjadi gagasan negara hari ini.
Jelasnya, tindakan melabelkan pendekatan Madani sebagai Madani Jahiliah dan seumpamanya adalah amat keterlaluan dan mendukacitakan.
“Hakikatnya, konsep Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu gagasan murni untuk mengangkat semula martabat negara.
“Konsep Madani telah diterima secara menyeluruh oleh sarjana Islam sebagai bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, konsep Madani juga menekankan pendekatan pembangunan negara yang bersifat syumul, holistik dan komprehensif dari aspek rohani dan jasmani.
“Sempena lembaran baharu tahun 2025, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru semua pihak agar memperkukuh perpaduan untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat,” nasihatnya. – KOSMO! ONLINE