fbpx

Sumbat 14kg dadah dalam but Toyota Vios

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMAR (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas bernilai lebih RM2.4 juta pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Perjalanan sepasang kekasih menaiki Toyota Vios untuk menjual 14 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM2.41 juta di sekitar daerah ini terbantut apabila mereka diberkas dalam kejadian di Mutiara Rini di sini tengah malam, Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kedua-dua suspek warga tempatan masing-masing berusia 31 dan 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Menurutnya, kesemua dadah itu ditemui diletakkan di dalam but kereta dinaiki mereka.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dadah yang dirampas terdiri daripada 14,401.81 gram serbuk ekstasi; 24.58 gram ketamin; 2.75 gram syabu dan 19.48 gram pil ekstasi, menjadikan keseluruhan dadah seberat 14.448 kilogram (kg).

“Modus operandi digunakan adalah membeli dadah secara pukal sebelum membungkus semula mengikuti permintaan pasaran, kesemua dadah berkenaan disimpan di dalam but kenderaan yang dijadikan stor sebelum diedarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan.

Tambah Kumar, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah, manakala kedua-duanya juga positif dadah jenis ketamin dan benzo. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI