MUAR – Seorang warga emas terkedu apabila wang di akaun Amanah Saham Berhad (ASB) dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) berjumlah RM89,000 miliknya lesap ditipu scammer yang menyamar sebagai pegawai polis serta pegawai mahkamah, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian dari mangsa warga tempatan berusia 60 tahun, semalam.
“Mangsa yang merupakan pesara swasta menyatakan telah menerima satu panggilan telefon daripada sebuah syarikat insurans menyatakan mangsa mempunyai tuntutan polisi insuran.
“Mangsa menafikan dan diminta membuat laporan polis seterusnya disambungkan kepada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis yang mana dia dimaklumkan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
“Selepas itu, mangsa menerima WhatsApp daripada seorang wanita memperkenalkan diri pegawai mahkamah yang boleh membantu mangsa menyelesaikan kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, pada 4 Disember 2024, mangsa diminta pergi ke sebuah bank di Muar untuk menukar
maklumat perbankan atas talian melalui mesin pengeluaran automatik (ATM) dan meminta mangsa memindahkan ke semua wang simpanan milik mangsa berjumlah RM89,000 ke akaun suspek.
Tambahnya, seminggu kemudian mangsa dimaklumkan perlu membayar wang jaminan sebanyak RM38,000 menyebabkan dia berasa curiga dan terus menyemak akaun bank miliknya yang hanya berbaki RM98.67. – KOSMO! ONLINE