SIBU – Polis menahan seorang pemandu lori kerana disyaki membuat ugutan bunuh ke atas artis terkenal, Baby Shima di dalam satu ruangan komen di Facebook.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.15 malam semalam di Kota Sentosa, Kuching.
“Turut dirampas telefon pintar milik suspek,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata suspek akan direman pada hari ini di Mahkamah Sibu untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, Zulkipli berkata pihaknya menerima laporan daripada Baby Shima pada pukul 11.31 malam kelmarin turut ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Seri Tiong King Sing selepas terbaca komen yang dibuat suspek tidak dikenali di Facebook dengan kenyataan berbaur ugutan dan mengancam keselamatannya.
Katanya ketika ini, Baby Shima juga berada di Sibu atas urusan kerja.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE