GENAP lapan tahun melalui proses panjang di mahkamah, pasangan sensasi Angelina Jolie dan Brad Pitt akhirnya disahkan bercerai pada 30 Disember lalu (kelmarin).
Mereka menandatangi dokumen persetujuan perceraian sekali gus menamatkan kemelut yang sudah sekian lama menjadi tontonan umum.
Peguam mewakili bintang filem Maleficent itu memaklumkan anak guamnya lega apabila berjaya menyelesaikan kes cerai tersebut selepas sekian lama.
“Jolie keletihan namun lega,” kata peguam terbabit.
Meski perpisahan mereka kini telah sah, hakikatnha masih ada beberapa isu lain yang perlu diselesaikan mengikut persetujuan bersama.
Antaranya membabitkan aset bernilai RM277 juta selain ladang anggur Chateau Miraval di Perancis yang menjadi rebutan kedua-duanya.
Daripada sumber, difahamkan pengesahan perceraian itu memudahkan Pitt untuk menyegerakan pernikahannya dengan pereka barang kemas, Ines de Ramon, 32.
Bahkan, aktor berusia 61 tahun itu berhajat keenam-enam anak mereka iaitu Maddox, Pax, Zahara, Shiloh, Vivienne dan Knox ada bersamanya ketika majlis itu nanti.
Usahanya kini adalah untuk memenangi semula hati mereka yang sebelum ini dilihat lebih memihak kepada bekas isterinya.
Jolie mengejutkan ramai pada 2016 apabila menfailkan cerai terhadap Pitt selepeas 10 tahun hidup bersama.
Mereka hanya sempat menjalani kehidupan berumah tangga selama dua tahun sebelum tercetus konflik sehingga mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.- KOSMO! ONLINE