fbpx

169 lintasan haram Malaysia-Thailand di Kelantan perlu perhatian serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Azri (dua dari kanan) meninjau operasi mengecop pasport melibatkan penunggang motosikal di ICQS Rantau Panjang hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

RANTAU PANJANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bersama semua pihak terlibat perlu memberi perhatian serius terhadap 169 lintasan haram Malaysia-Thailand yang dikesan di Kelantan pada tahun lalu.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kesemua pintu masuk berkenaan merupakan kawasan-kawasan strategik bagi aktiviti rentas sempadan termasuk melibatkan kegiatan yang bercanggah dengan peruntukan undang-undang.

Menurutnya, sehubungan itu, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman perlu memberi perhatian terhadap beberapa perkara penting bagi kelancaran operasi sempadan.

“Kita perlu menerapkan aspek pendigitalan dalam pelaksanaan operasi sempadan. Jika boleh, tangani segera masalah televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan sempadan Malaysia- Thailand terutamanya di Kelantan.

“Teknologi pendigitalan seperti pengecaman wajah dan pemindahan maklumat perlu diteroka bagi memudahkan urusan keluar masuk sempadan negara,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Program Rintis AKPS di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata, semua penjawat awam perlu mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ia merupakan langkah bagi meningkatkan kecekapan dalam semua urusan berkaitan dan sebagai pemudah cara segala urusan di pintu sempadan selain memastikan kepuasan hati pelanggan dalam urusan keluar masuk sempadan negara. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI