PETALING JAYA – Yayasan Perkasa Siswa (YPS) menghargai komitmen yang diberikan oleh semua pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara atas sambutan yang luar biasa terhadap Program Baucar Buku Madani Pelajar IPT (institusi pengajian tinggi) Fasa 2.
Sambutan ini mencerminkan keprihatinan serta kesungguhan mahasiswa dalam memanfaatkan inisiatif yangdisediakan bagi memperkukuh proses pembelajaran mereka.
Sejak pelancaran program ini, portal mysiswaplace.my telah mencatatkan peningkatan trafik yang amat luar biasa, dengan ribuan mahasiswa mengunjungi portal setiap hari untuk menebus baucar buku mereka.
“Merujuk kepada sambutan luar biasa mahasiswa terhadap Program Baucar Buku Madani Fasa 2, YPS ingin memohon kerjasama semua mahasiswa untuk bersabar dalam proses penghantaran pesanan buku mereka yang kini sedang diproses oleh rakan kongsi dan pengedar kami.
“Jumlah pesanan yang diterima adalah sangat tinggi, namun kami berharap setiap pesanan diproses dengan teliti bagi memastikan buku yang diterima berada dalam kualiti dan keadaan terbaik.
“Pihak YPS, bersama rakan pengedar dan rakan penghantaran kami, komited untuk menghantar setiap pesanan dalam tempoh yang secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
YPS berharap mahasiswa yang memenuhi syarat kelayakan, hendaklah menebus baucar tersebut yang mana ia boleh digunakan sehingga hari ini.
“Kami juga ingin mengingatkan mahasiswa agar memastikan maklumat yang dimasukkan semasa proses penebusan, seperti nombor matrik dan maklumat lain, adalah tepat dan lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Sekiranya terdapat sebarang masalah atau kekeliruan, pasukan khidmat pelanggan kami sedia membantu anda pada bila-bila masa, 24 jam sehari, bagi memastikan proses penebusan berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang masalah.
“Kami komited untuk memberikan sokongan sepenuhnya kepada semua mahasiswa bagi memudahkan proses ini.
“YPS juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk penerbit dan pengedar buku terkemuka seperti Popular Book Store dan juga lebih daripada 300 pengedar lain, yang telah memberikan sokongan padu dalam memastikan kejayaan program ini,” jelasnya.
Jelas kenyataan tersebut, kerjasama erat daripada pihak-pihak ini membuktikan usaha kolektif kita dalam memperkukuh budaya ilmu dan amalan membaca di kalangan masyarakat.
“Kami percaya bahawa inisiatif ini bukan sahaja memudahkan mahasiswa untuk memperoleh bahan bacaan berkualiti, tetapi juga menjadi langkah penting dalam menyemarakkan budaya pembelajaran dan pembacaan, yang merupakan asas kepada pembangunan intelektual masyarakat,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE