LARUT – Seorang warga emas berusia 76 tahun ditahan berkaitan kejadian seorang wanita yang maut akibat motosikal ditunggangnya dihimpit sebuah Perodua Viva sebelum terbabas di Jalan Wan Razali di Selama di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Selama Perak, Superintendan Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian membabitkan wanita berusia 45 tahun tersebut kira-kira pukul 9.35 pagi semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati, wanita itu tidak sedarkan diri di lokasi terbabit dan disahkan maut oleh pegawai perubatan.
“Siasatan dijalankan mendapati terdapat kesan cat kenderaan lain pada motosikal mangsa menyebabkan pihak polis mendapatkan rakaman televisyen litar pintas (CCTV) dari premis berhampiran tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Sarudin berkata, rakaman CCTV menunjukkan sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna perak dari arah yang sama (Jalan Taiping-Selama menghala ke pekan Selama) telah menghimpit motosikal mangsa menyebabkannya terjatuh.
“Seorang lelaki berusia 76 tahun telah meninggalkan tempat kemalangan tanpa membuat sebarang laporan mengenai kejadian itu. Susulan itu, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas suspek bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambahnya, hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada akibat kemalangan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE