PETALING JAYA – Andaian segelintir masyarakat yang mendakwa polis sentiasa mencari salah pengguna jalan raya adalah tidak tepat.
Buktinya, menerusi satu perkongsian di laman TikTok, anggota polis bukan sahaja menolong seorang pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan pada brek motosikalnya, malah mereka turut membayar kos membaiki kenderaan itu.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku semasa tiga anggota terbabit melakukan rodaan cegah jenayah di Jalan Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah kelmarin.
Berdasarkan klip video yang dikongsi itu, pengguna jalan raya tersebut telah menunggang motosikal bersama isteri serta dua orang anak.
Menurut anggota terbabit, sebelum menahan motosikal itu, motosikal dinaiki empat beranak itu terlebih dahulu telah melanggar lampu isyarat merah.
“Niat nak bagi teguran kerana langgar lampu merah, tiba-tiba jadi lain. Allah uji kami atas ujian orang lain,”tulis anggota itu.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa anggota yang terlibat membantu pengguna jalan raya itu adalah Koperal Mohd Dazuki Mat Nor, Lans Koperal Mohamad Ikram Abdullah dan Lans Koperal Muhammad Adzhar Hakimi Yusof.
Ketiga-tiga mereka dari Balai Polis Kepala Batas, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.
Menurut kenyataan itu, mereka telah membantu seorang penunggang motosikal yang kerosakan brek ketika melakukan tugasan rondaan cegah jenayah.
“Prihatin dengan nasib lelaki berkenaan yang dilihat menaiki motosikal bersama isteri dan anaknya, ketiga-tiga anggota Balai Polis Kepala Batas telah membawa mereka ke bengkel berhampiran untuk membaiki motosikal sekali gus membuat bayaran tanpa mengharapkan balasan.
“Sikap mulia ini mencerminkan dedikasi warga Sang Saka Biru terhadap keselamatan orang awam, selain menjadi pelindung dan juga sahabat masyarakat,”jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE