fbpx

K2

Mengenang 2024: 8 tragedi dan bencana besar sepanjang tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut apabila dua buah helikopter iaitu helikopter Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 berlanggar di udara sebelum terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak pada 23 April lalu.

10 maut dua helikopter TLDM berlanggar

Seramai 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut apabila dua buah helikopter iaitu helikopter Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 berlanggar di udara sebelum terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak.
Kejadian pukul 9.32 pagi pada 23 April lalu berlaku ketika kedua-dua helikopter itu sedang menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90. Mangsa merupakan tujuh kru pesawat HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.

Tujuh maut tragedi tayar lori tercabut

Tujuh individu termasuk lima sekeluarga maut dalam nahas ngeri di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Melaka pada 23 Disember lalu.
Kemalangan pada pukul 8.45 malam itu melibatkan lima buah kenderaan termasuk bas persiaran membawa 27 penumpang, Toyota Estima, lori, treler dan Perodua Bezza.
Lima mangsa yang meninggal dunia merupakan satu sekeluarga selain seorang pemandu bas dan penumpang bas.

Dua beradik korban ‘keropok racun tikus’

Dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun dilaporkan kritikal selepas makan keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah pada 7 Julai lalu. Kejadian terletak berhampiran rumah dua beradik itu.
Muhammad Akil Syauqi, 3, meninggal dunia tiga hari selepas kejadian, manakala adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, lima hari selepas kejadian.

Dua temui ajal, 82 keracunan makanan

Seramai 82 orang keracunan makanan dengan dua kematian disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata didakwa sudah berubah rupa dan rasa.
Hidangan itu disediakan semasa mengikuti sebuah program di sebuah sekolah di Gombak pada 11 Jun lalu.

 

Banjir yang melanda sembilan negeri sejak 26 November lalu disifatkan luar biasa apabila menyaksikan peningkatan lebih 100,000 mangsa dalam tempoh kurang 24 jam.

Banjir luar biasa, 100,000 mangsa dalam 24 jam

Banjir yang melanda sembilan negeri sejak 26 November lalu disifatkan luar biasa apabila menyaksikan peningkatan lebih 100,000 mangsa dalam tempoh kurang 24 jam.
Taburan hujan terutama di Kelantan dan Terengganu tiga kali ganda daripada jumlah yang turun untuk satu tahun. Kelantan mencatat mangsa paling ramai dipindahkan ke PPS.
Bencana alam ini juga menyaksikan seramai sembilan individu terkorban masing-masing lima di Kelantan, manakala empat lagi di Terengganu.

Tragedi Sungai Jahang

TIGA kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) maut ketika menyertai aktiviti ‘water rafting’ di Sungai Jahang, dekat Gopeng, Kampar pada 15 November lalu. Mereka ialah Penolong Jurutera Kanan JKR Langkawi, Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, (Pegawai Khidmat Pelanggan JKR Daerah Langkawi) dan Suhaili Mat Saad, 47, yang juga Jurutera Daerah JKR Seberang Perai Tengah.
Kejadian berpunca daripada hujan berterusan yang menyebabkan air sungai naik mendadak mengakibatkan satu bot ‘water rafting’ yang dinaiki enam penumpang dan seorang jurupandu terbalik.

Latihan Regatta ragut lima nyawa

LIMA kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) meninggal dunia selepas perahu lumba digunakan karam ketika sesi latihan Regatta Sarawak di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa, Kuching.
Kejadian berlaku pada 18 Oktober lalu kira-kira pukul 4.20 petang. Ketika itu, perahu tersebut membawa seramai 16 peserta dengan 11 daripadanya berjaya menyelamatkan diri.

Kemarau terburuk dalam 20 tahun

KEMARAU dan cuaca panas terik akhir Februari sehingga April lalu dikatakan terburuk melanda Pantai Timur dalam tempoh 20 tahun. Ia antaranya menyebabkan 300 pesawah di Pasir Puteh kerugian hampir RM1 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI