PETALING JAYA – Bukan memaksa anak kecil bekerja demi meraih pendapatan, pelakon Anzalna Nasir sebaliknya menyifatkan pendekatan sesetengah selebriti yang ‘menghalalkan’ penglibatan anak-anak dalam dunia seni, termasuk iklan komersial bukanlah satu bentuk pekerjaan demi pulangan kewangan.
Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir berkata, seperti Mohamad Eidrees dan Mohamad Emirhan, dua anaknya itu secara rela beraksi di hadapan kamera sebagai model atau duta produk sejak masih bayi.
“Eidrees sudah jadi duta jenama sejak umur setahun, dia biasa dengan kamera, manakala Emirhan pula baru nak mula tahun ini bersama satu jenama susu, jadi dia masih dalam proses belajar.
“Bekerja dengan kanak-kanak bukan mudah. Kita tak boleh paksa mereka demi duit. Kalau mereka enggan, kita kena lepaskan. Jangan sesekali paksa.
“Alhamdulillah, semalam Emirhan sendiri yang pilih baju dan ikut kami buat ‘photoshoot’,” katanya dalam Insta Story.’
Bahkan katanya, penglibatan anak-anak dalam dunia seni juga satu rakaman untuk disimpan sebagai kenangan berharga apabila dewasa kelak.
“Gembira sangat sebab ini semua adalah kenangan sewaktu mereka kecil,” ujarnya.
Susulan kritikan sesetengah berhubung penglibatan anak-anak selebriti dalam bidang seni didakwa satu bentuk manipulasi, mempergunakan kanak-kanak bawah umur untuk bekerja seperti yang dipertahankan penyanyi Misha Omar.
Menerusi video dikongsikan, kedua-dua anak aktres yang berusia lima dan dua tahun itu menjalani penggambaran untuk satu jenama pakaian sempena hari raya.
Pelakon drama Cinta Dari Syurga itu mengakui pengalaman yang diraih sepanjang terbabit dengan sesebuah jenama atau produk merupakan memori indah buat mereka apabila dewasa kelak.
Selain dua permata hati, suaminya Hanif Zaki yang juga ahli perniagaan turut serta dalam kempen promosi terbabit.
Selain Anzalna, kebanyakan artis di Malaysia sebenarnya tidak asing lagi dengan isu penglibatan anak-anak kecil sebagai duta produk dan iklan komersial.
Isu berkenaan baru-baru ini kembali diperkatakan susulan kritikan sesetengah pihak berhubung penglibatan anak penyanyi Misha Omar sebagai pengacara majlis dalam konsert eksklusif Misha Omar Back To Basic minggu lalu. – KOSMO! ONLINE