TAHUN 2025 bakal menjadi musim yang penuh cabaran buat skuad sepak takraw negara apabila beberapa kejohanan besar menanti antaranya Piala Asia yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Mei, Piala Raja Thai (Julai) dan juga temasya Sukan SEA Thailand yang membuka tirai pada Disember nanti.
Perancangan rapi telah disusun ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun terutama memilih barisan pemain terbaik dan juga siri latihan untuk memastikan skuad negara yang diturunkan dalam keadaan bersedia untuk menggegar gelanggang nanti.
Ahmad Jais berkata, tumpuannya kali ini kepada barisan atlet muda negara dan penilaian tersebut akan dibuat dari semasa ke semasa.
“Untuk persiapan musim 2025 ini, pasukan negara akan memulakan latihan awal Januari kerana kita akan menghadapi tiga kejohanan utama iaitu Piala Asia, Piala Raja Thai dan juga Sukan SEA.
“Kita juga telah berbincang dengan pihak Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kerana persiapan akan dibuat mengikut blok iaitu satu demi satu.
“Yang pertama, tumpuan diberikan kepada Piala Asia dan siri ujian perlawanan akan dibuat untuk melihat sejauh mana keberkesanan pemain kita yang diberi tanggungjawab ke Piala Asia.
“Menjelang temasya Sukan SEA, secara peribadi saya akan memberi tumpuan kepada tiga acara iaitu berpasukan, regu dan kuadran dan acara lain saya serahkan kepada PSM untuk membuat keputusan. Bagi saya, tiga acara itu adalah yang kita akan memberi tumpuan penuh di Thailand nanti,,” katanya kepada Kosmo! Semalam.