PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau berasa bangga dengan semangat dan daya tahan dipamerkan rakyat Malaysia.
Kata beliau, tahun 2024 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran dalam memastikan keterjaminan makanan untuk semua rakyat Malaysia.
“Negara berdepan ketidaktentuan cuaca akibat perubahan iklim dan tekanan ekonomi global. Namun, cabaran-cabaran ini telah kita tangani dengan penuh tekad dan kesepaduan.
“Hasil usaha gigih semua pihak, daripada petani, penternak dan nelayan kepada pemimpin industri serta rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini sempena Tahun Baharu 2025.
Mohamad berkata, kolaborasi erat antara sektor awam dan swasta berjaya menstabilkan rantaian bekalan makanan negara, menggalakkan inovasi dalam sektor agromakanan serta memastikan makanan yang selamat dan mencukupi.
Ujar beliau, walaupun usaha itu tidak mudah, perjalanan yang dilalui sepanjang tahun ini telah mengukuhkan asas negara untuk terus maju ke hadapan.
“Melangkah ke tahun 2025, saya yakin setiap cabaran kita tempuhi di tahun 2024 pelajaran berharga untuk memperbaiki diri dan memperkasakan lagi sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
“Tahun baharu ini membawa peluang untuk kita meningkatkan daya saing, mempelbagaikan sumber pengeluaran makanan dan mengutamakan kelestarian dalam setiap langkah kita ambil,” katanya.
Kata beliau, tahun 2025 masa untuk semua pihak melipatgandakan usaha dalam membangun negara yang lebih lestari, inklusif dan makmur untuk generasi masa depan. – KOSMO! ONLINE