KUALA LUMPUR – Demi merasai kemeriahan sambutan Tahun Baharu 2025 di ibu kota, seorang wanita sanggup menempah bilik hotel selama dua malam sejak semalam.
Pegawai sumber manusia, Shafira Mohammad, 39, berkata, memandangkan dia tinggal di Selangor, wanita itu bersama dua anaknya memgambil peluang berkunjung ke pekarangan Bangunan Tun Razak Exchange (TRX) malam ini bagi sambutan ambang Tahun Baharu 2025.
“Kami menyewa bilik hotel berdekatan untuk dua hari memandang kami tinggal jauh dari ibu kota.
“Ini kali pertama saya dan anak-anak sertai sambutan sebegini. Kami sanggup beratur dari pukul 2 petang sebab teruja untuk melihat persembahan, bunga api dan kemeriahan orang ramai di sini,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Seorang pekerja swasta, Azrul Johari, 22, mengakui setiap tahun dia dan rakan-rakan tidak pernah terlepas daripada berkumpul bagi menyambut tahun baharu.
“Dua tahun berturut pilih TRX untuk sambutan tahun baharu kerana terdapat bunga api dan persembahan yang menarik.
“Bagi saya sesebuah sambutan tahun baharu memang wajib ada persembahan. Kalau tak ada, tak seronok rasanya,” katanya.
Sementara itu, penuntut universiti, Nur Nilam Sari Hussien, 20, berkata, setiap tahun dia akan menantikan pertunjukan bunga api sebagai acara kemuncak kepada sambutan tahun baharu.
“Tak ada bunga api tak lengkap sambutan tahun baharu, mesti kena ada, rasa meriah dan tak sabar untuk melangkah ke tahun baharu,” ujarnya.
Nur Nilam berkata, jika tahun sebelumnya dia menghadiri sambutan tahun baharu bersama keluarga, namun kali ini gadis tersebut meraikannya bersama rakan-rakan universiti.
Seorang lagi penuntut Universiti, Fatin Fatihah Mohd. Fuad, 20, mengakui selain dapat melihat gelagat orang ramai, berkumpul di acara sambutan Tahun Baharu 2025 ini mampu merapatkan hubungan antara rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE