KUALA LUMPUR – Kira-kira 3,000 pengunjung hadir membanjiri pekarangan Raintree Plaza TRX bagi memeriahkan sambutan ambang Tahun Baharu 2025 di sini, malam ini.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati, pengunjung yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan lapisan umur beratur seawal pukul 12 tengah hari bagi memasuki ruang acara pada hari ini.
Sambutan ambang Tahun Baharu 2025 di sini, dimeriahkan dengan persembahan selebriti tempatan serta antarabangsa selain tepat pukul 12 tengah malam nanti akan disajikan acara kemuncak iaitu pertunjukan bunga api.
Selain itu, lebih 50 anggota keselamatan dilihat berada di sekitar ruang acara terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi memastikan keselamatan para pengunjung yang hadir.
Sementara itu, ketika tinjauan dilakukan di pekarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC), lebih 2,000 warga tempatan dan asing bersiar-siar di sini bagi menantikan kehadiran tahun 2025 tepat pukul 12.01 tengah malam.
Memandangkan esok merupakan cuti umum sempena Tahun Baharu 2025, ramai dilihat tidak melepaskan peluang membawa keluarga dan meluangkan masa bersama rakan-rakan di beberapa lokasi tumpuan sekitar ibu kota malam ini termasuklah di Bukit Bintang dan Dataram Merdeka. – KOSMO! ONLINE