SEOUL – Pembatalan pakej pelancongan dan tiket penerbangan melonjak ketika kebimbangan terhadap keselamatan dalam penerbangan terus meningkat susulan nahas syarikat penerbangan Korea Selatan, Jeju Air yang meragut 179 nyawa, lapor portal berita Social News XYZ semalam.
Jeju Air mendedahkan bahawa sebanyak 68,000 tempahan penerbangan telah dibatalkan setakat pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) semalam.
“Daripada jumlah itu, lebih 33,000 pembatalan melibatkan penerbangan domestik, manakala 34,000 lagi adalah untuk laluan antarabangsa.
“Kebanyakan pembatalan berlaku selepas pukul 9 pagi (waktu tempatan) pada Ahad lalu, berikutan nahas Penerbangan 7C2216 yang membawa 181 orang di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, daerah barat daya Muan,” kata syarikat itu.
Agensi pelancongan tempatan turut melaporkan peningkatan mendadak dalam pembatalan pakej pelancongan selepas tragedi itu.
Banyak agensi menghentikan iklan di televisyen dan online serta kempen promosi mereka.
“Kami menerima kira-kira 40 pertanyaan mengenai pembatalan perjalanan pada Ahad lalu,” kata seorang ejen pelancongan yang tidak mahu namanya disiarkan.
“Kami menyaksikan jumlah pembatalan meningkat dua kali ganda daripada biasa dengan penurunan sebanyak 50 peratus dalam tempahan,” tambahnya.
Menurut sumber industri, sektor pelancongan sedang memantau situasi semasa dengan teliti selain menjangkakan kesan berterusan apabila kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan penerbangan terus meningkat. – AGENSI