KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang gelandangan, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Aiman Abdullah, 39, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Aiman didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian seorang lelaki, Saravanan Palanisamy, 45, di antara pukul 9.45 dan 10.07 malam, pada 23 November lalu, di tepi jalan (bawah jambatan), Jalan Tun Sambathan berhampiran sebuah hotel di sini.
Tertuduh yang juga seorang gelandangan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 19 Februari hadapan untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, seorang gelandangan ditemui mati yang pada mulanya diklasifikasikan oleh polis sebagai kematian mengejut.
Bagaimanapun, laporan bedah siasat kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat hentakan kuat di kepala. – KOSMO! ONLINE