PETALING JAYA – Tahun penuh ujian, pelakon dan penyanyi Bella Astillah menggangap semua dugaan yang hadir dalam hidup khususnya berkaitan rumah tangga adalah pengajaran terbesar buat dirinya.
Bagi pemilik nama penuh Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, dugaan tersebut tidak mematahkan semangat malah menjadikan dirinya lebih kuat mencari rezeki buat keluarga.
“Semua yang berlaku sebelum ini menguatkan semangat saya untuk mencari rezeki buat keluarga.
“Apa sahaja yang pernah berlaku dalam hidup saya, itulah pengajaran terbesar.
“Saya anggap semua manusia akan melalui ujian dan yang berlaku sebelum ini adalah bahagian saya,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Sama seperti individu lain, pelantun lagu Cacaca itu turut berharap hidupnya akan lebih bahagia dan tahun 2025 membawa banyak kegembiraan.
“Pastinya saya mengharapkan ada pelangi selepas hujan.
“Semoga tahun 2025 menjadi tahun lebih baik, insya-Allah,” ujarnya.
Pada Mac 2024, Bella berdepan kejuran hebat apabila Aliff ketika itu masih berstatus suaminya ditangkap berkhalwat dengan pelakon Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu kota.
Bella dan bekas suami, Aliff Aziz kemudiannya sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu.
Hasil perkongsian hidup selama lapan tahun hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna kini berusia empat tahun. – KOSMO! ONLINE