PETALING JAYA – Sebuah bungkusan menjadi tular di media sosial apabila penghantarnya menyelitkan mesej unik berbentuk lirik lagu untuk memastikan barang tersebut dijaga dengan baik oleh penghantar.
Menerusi sebuah hantaran di Facebook, kotak itu dilekatkan dengan stiker ‘FRAGILE’ itu bukan sahaja meminta penghantar berhati-hati, malah turut meletakkan pesanan berbentuk lirik yang menghiburkan.
Antara mesej yang tertera di kotak tersebut ialah, “Tolong hantar saya baik-baik abang,” diikuti larangan seperti, “Jangan tindih saya,” dan “Jangan campak saya,”
Namun, apa yang lebih mencuit hati adalah lirik lagu Makhluk Tuhan Paling Sexy oleh Mulan Jameela di penghujung mesej.
Mesej ini turut disertai gambar hitam putih seorang pontianak memikul bayi yang dilakonkan oleh Maya Karin dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam.
Gambar dengan kapsyen “Zaman sekarang nak hantar barang pun mencabar, sampai kena nyanyi” telah meraih pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-rata terhibur dengan kreativiti penghantar bungkusan itu.
“Lepas dia nyanyi, dia pun campak dengan hati yang gembira,” komen Haryani Rusli.
“Aku sorter (penyusun) dekat gudang Shopee. Memang berlambak jumpa benda macam ni. Kejang kejung perut gelak,” ujar Riezal Rizz.
“Kalau aku yang jadi abang parcel, memang aku sidai je dekat gudang, biar dia jadi seharum bunga di dalam gudang,” usik Nell. – KOSMO! ONLINE