Harimau Malaya ikat Korea Selatan
Skuad Harimau Malaya mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih keputusan seri 3-3 ke atas Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2024 pada 25 Januari lalu. Gol penyamaan skuad negara dijaringkan oleh Romel Morales pada minit ke-115 masa kecederaan selepas Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi terlebih dahulu mencetak nama sebagai penjaring.
Husniah pecah rekod 31 tahun
SELEPAS 31 tahun, rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) milik pelari pecut legenda, G. Shanti akhirnya lebur selepas ratu pecut tanah air, Zaidatul Husniah Zulkifli melakukan catatan masa 11.49 saat (s). Pelari berusia 31 tahun itu melakukan catatan masa itu ketika memenangi kejohanan Terbuka Perlis pada 13 Oktober lalu, sekali gus memadam rekod 11.50s yang dilakukan Shanti pada Pra Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.
Rodri cetus kontroversi menang Ballon d’Or
Bintang Manchester City, Rodri muncul pemain dari Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama selepas 16 tahun diangkat sebagai pemenang anugerah utama Ballon d’Or 2024 yang dilangsungkan penuh kontroversi ekoran pemboikotan Real Madrid selepas Vinicius Jr. tidak terpilih.
Verstappen julang gelaran dunia F1 kali keempat
Pelumba Red Bull, Max Verstappen berjaya menjulang kejuaraan dunia buat kali keempat berturut-turut selepas perlumbaan Grand Prix Las Vegas pada 26 November lalu. Biarpun berdepan isu prestasi jentera pada separuh kedua musim, namun Verstappen berjaya bergelar juara dunia buat kali keempat berturut-turut.
Jorge Martin juara dunia baharu MotoGP
Pelumba Sepanyol, Jorge Martin mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Juara Dunia MotoGP 2024, sekali gus menebus kegagalannya pada musim lalu yang terlepas gelaran kepada Francesco Bagnaia. Martin mengumpul 508 mata keseluruhan musim ini untuk muncul pelumba satelit pertama menjulang gelaran itu dalam sejarah MotoGP bersama Pramac Racing.
Sepanyol juara Euro 2024
Pasukan Sepanyol menjadi negara paling berjaya dalam sejarah kejohanan Euro selepas muncul juara edisi 2024 dengan menewaskan England 2-1 dalam aksi final di Stadium Olimpik, Jerman.
Kemenangan tersebut menyaksikan La Roja menamatkan penantian 12 tahun untuk menjadi juara buat kali keempat selepas mendominasi edisi 1964, 2008 dan 2012.