fbpx

Mengenang 2024: Lima peristiwa terbesar tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

1- Sultan Ibrahim ditabalkan Agong ke-17

TAHUN 2024 melabuhkan tirainya hari ini dengan negara menyaksikan pelbagai peristiwa besar yang berlaku sepanjang tahun.

Antara peristiwa bersejarah yang akan dikenang bagi tahun ini adalah upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggantikan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 20 Julai lalu di Istana Negara, Kuala Lumpur.

IstiadaT Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berlangsung
di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 20 Julai lalu.

Istiadat pertabalan itu merupakan peristiwa penting kerana perlantikan Yang di-Pertuan Agong yang diadakan secara bergilir-gilir melibatkan raja-raja di sembilan negeri Melayu itu seiring dengan sistem Raja Berperlembagaan diamalkan negara.

Istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah itu juga menyempurnakan peruntukan Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, selain bukti kesinambungan pemerintahan raja Melayu dengan sistem pelantikan Yang di-Pertuan Agong secara bergilir.

Dihadiri ratusan tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, jemaah menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini dan pemimpin utama negara, istiadat itu juga sebagai lambang pemasyhuran kepada seluruh dunia bahawa Sultan Ibrahim bersemayam di takhta sebagai Ketua Tertinggi Negara yang menggalas tanggungjawab menjadi payung mahkota, menaungi rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun.

Terdahulu, Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan pula telah berlangsung di Istana Negara pada 31 Januari 2024, menandakan bermulanya peranan Sultan Ibrahim sebagai Agong.

Sultan Ibrahim ketika melafazkan sumpah jawatan Agong ke-17 berikrar melaksanakan pemerintahan dengan adil, mempertahankan kesucian Islam, keamanan serta ke­sejahteraan rakyat.

“Maka dengan lafaz ini, berikrarlah kami dengan sesungguh dan sebenarnya mengaku akan taat setia menjalankan dengan adilnya bagi pemerintahan Malaysia mengikut sebagai mana undang-undang dan Perlembagaan yang disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini.

“Kami berikrar dan mengaku dengan sesungguhnya dan sebenarnya memelihara pada setiap masa agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri,” titah baginda.

2- Lebih setahun Gaza terus berdarah

SUDAH lebih setahun berlalu, peperangan antara Israel dengan Palestin masih belum bernoktah.

Perang yang tercetus di Gaza sejak 7 Oktober 2023 itu belum menunjukkan tanda-tanda perdamaian biarpun angka korban setakat ini sudah melebihi 50,000 orang dan lebih 100,000 cedera.

Sekitar Februari hingga Mei lalu misalnya seluruh dunia tertumpu kepada nasib penduduk Gaza yang terpaksa melarikan diri ke Rafah sehingga muncul slogan All Eyes On Rafah di saat Israel terus mengganas dengan menyerang insan-insan berlindung di kem.

Perang menjadi semakin ‘melarat’ apabila tentera Israel pada September lalu turut melancarkan serangan ke atas Lebanon yang dlkaitkan dengan kumpulan Hezbollah.

Serangan pertama Israel ke atas Lebanon dilaporkan pada 23 September pukul 6.30 pagi (waktu tempatan) yang melanda kawasan tidak berpenghuni berhampiran Byblos, utara Beirut.

Rejim Zionis juga melabelkan serangan itu sebagai fasa baharu dan menyerang ribuan sasaran di Lebanon terutamanya kubu kuat kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.

Serangan tentera Israel telah mengorbankan 558 penduduk Lebanon, manakala 2,000 yang lain cedera. Kementerian Kesihatan Lebanon berkata, serangan itu menandakan hari paling dahsyat bagi keganasan rentas sempadan sejak perang Gaza bermula.

Iran dalam pada itu bertindak melakukan serangan ke atas Israel antaranya pada 1 Oktober lalu dengan melancarkan kira-kira 200 peluru berpandu balistik ke Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin disokong Teheran seperti Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah.

Kemudian, Israel melakukan serangan balas udara dengan menyasarkan tapak tentera pada 26 Oktober lalu di Teheran.

3- 392 kanak-kanak diselamat, GISB sesat

Negara ini dikejutkan dengan pendedahan kegiatan sebuah kumpulan ajaran sesat, selepas Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia pada 16 Ogos lalu menerusi laman rasmi Facebooknya mendedahkan kegiatan ajaran sesat yang didakwa berlaku dalam Global Ikhwan Sdn. Bhd. atau juga dikenali sebagai GISB.

Pada 11 September, polis kemudiannya membuat serbuan terhadap 20 rumah amal dipercayai milik GISB di Selangor dan Negeri Sembilan, serta menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban.

Seramai 392 individu lelaki dan perempuan berumur antara setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam operasi berkenaan.

Nasiruddin bersama 21 individu yang lain didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Selayang 23 Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, rumah amal terbabit menggunakan sentimen agama dan kanak-kanak untuk menagih simpati serta sumbangan orang ramai.

Kegiatan jenayah itu dibanteras menerusi Op Global membabitkan 705 pegawai dan anggota polis.

Pada 13 September lalu, Razarudin mengadakan sidang media kedua berhubung kes itu dan mendedahkan sejumlah 41 laporan polis polis berkaitan GISB diterima sejak 2011 hingga September lalu.

Beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB ditahan termasuk anak bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad yang merupakan kumpulan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISB.

Kemudian pada 23 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali dan isteri serta 20 individu lain dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Selayang.

Beberapa negeri telah memfatwatkan GISB sesat dimulai dengan Perlis, Selangor, Pahang, Sabah, Melaka dan Pulau Pinang.

Sehingga 5 Disember lalu, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB ditahan, manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan pihak polis.

4- Kejam! Faisal Halim mangsa simbah asid

Insiden mengejutkan lain yang berlaku pada tahun ini adalah membabitkan pemain bola sepak kebangsaan dan juga sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbah asid dalam insiden dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Selangor, 5 Mei lalu.

Faisal Halim

Akibat daripada serangan itu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali itu.

Peristiwa itu sangat mendukacitakan apabila ia berlaku ketika skuad kebangsaan semakin menunjukkan prestasi positif dan Faisal pula boleh dianggap ‘ayam tambatan’ Harimau Malaya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 5 Julai lalu sebulat suara meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan yang mengancam nyawa serta karier atlet terutamanya bola sepak.

Pada 22 November pula, Exco Pembangunan Sukan Selangor, Najwan Halimi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta mendedahkan perkembangan terkini termasuk dalang kes serangan asid terhadap Faisal.

Pihak polis sehingga kini masih mencari maklumat yang dapat membantu siasatan. Sejak siasatan dibuka, 23 individu sudah diambil keterangan selain pihak polis turut menahan tiga suspek. Namun, sehingga kini, tiada bukti dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan kes terbabit.

5- ‘Sinkhole’ cetus kegemparan KL tidak selamat

Kira-kira seminggu sebelum negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-67, negara dikejutkan dengan insiden seorang pelancong wanita dari India terjerlus tanah mendap dengan kedalaman 10 meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Insiden yang berlaku pada pagi 23 Ogos lalu itu menyebabkan G. Vijaya Lakshmi, 48, (gambar kecil) sehingga kini masih belum dijumpai selepas terjerlus ketika berjalan kaki di lokasi terbabit.

Pada 31 Ogos, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan.

Insiden itu menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan penduduk di negara ini, khususnya ibu kota Kuala Lumpur dengan menyifatkan ia sudah tidak lagi selamat dihuni. Ia juga menjejaskan perniagaan di sekitar Masjid India apabila kawasan itu sunyi dan ada acara ambang kemerdekaan di sekitarnya dibatalkan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bagaimanapun berkata, Kuala Lumpur dan juga bandar raya utama lain di negara ini kekal selamat untuk dikunjungi dan didiami.

Ujarnya, kes tersebut ‘isolated case’ dan anggapan bahawa negara sudah tidak lagi selamat didiami adalah tidak benar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI