Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa
kes kematian anak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin memasuki fasa mengejutkan apabila ibu bapanya sendiri Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf didakwa atas pertuduhan mengabaikan mangsa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 13 Jun lalu.
Pada 7 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia pada pukul 10 malam di anak sungai berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai.
Jahidah dipukul sehingga koma
Peniaga, Rosmaini Abd. Raof, 41, dipenjara selama 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas memukul bekas isterinya, Jahidah Nordin@Sylvester, 46, sehingga wanita itu terlantar koma.
Rosmaini didakwa memukul kepala, muka, tangan sehingga bekas isteri ketiganya itu cedera parah dengan tengkorak kepalanya terpaksa dibuang selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak. Ketika kejadian Jahidah hamil empat minggu.
Hilang berakhir tragedi
Kehilangan empat individu, cikgu Istiqomah Ahmad Rozi, Mira Sharmila Samsusah atau Bella, Nur Farah Kartini Abdullah dan Sabari Baharom menggemparkan negara apabila kesemua mereka berakhir kematian.
Istiqomah, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023 disahkan dibunuh pada 2 Ogos lalu selepas DNA mengesahkan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan adalah dirinya.
Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim pada 10 Julai lalu. Mayatnya ditemui di Kuala Kubu Bharu tiga hari selepas itu.
Kehilangan Bella pada 14 Disember 2023 terjawab susulan penemuan rangka tidak sempurna selepas 37 hari di sebuah rumah sewa terbiar di Batu Pahat. Sabari, 63, pula menemui ajal dalam tragis apabila dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Wang Tepus, Jitra, Kedah dengan keadaan tangan diikat dan mulut ditutup pita pelekat pada 4 September lalu.
Vivy Yusof, suami didakwa pecah amanah RM8 juta
Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan ini atas dua pertuduhan pecah amanah.
Kedua-duanya membabitkan dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
Pengganas serang balai polis
Serangan berdarah didalangi pengganas Jemaah Islamiah ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei lalu mengorbankan dua anggota polis berpangkat konstabel, manakala seorang lagi parah.
Kejadian itu turut mengakibatkan suspek warga tempatan terbunuh selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di balai berkenaan.
PU Azman dijel 24 tahun, 2 sebatan
Pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman dihukum penjara 24 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun pada 27 September lalu.
PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias, 43, turut dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan selepas mengaku bersalah melakukan kelucahan melampau terhadap remaja berusia 19 tahun di Mahkamah Majistret Klang pada 6 Disember lalu.
Pembunuh Sosilawati akhirnya ke tali gantung
Peguam N. Pathmanabhan, 54, dan pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 32, kekal dihukum gantung sampai mati selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan hukuman mati.
Kedua-dua tertuduh sebelum ini didapati bersalah membunuh Datuk Sosilawati Lawiya, pegawai bank Noorhisham Mohamad, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin.