KAJANG – Penemuan mayat reput di Banting, Selangor semalam dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di daerah ini pada 19 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mangsa.
“Mayat yang ditemui berada dalam keadaan reput. Bagaimanapun kita percaya ia (penemuan mayat) ada kaitan tetapi perlu tunggu DNA dijangka diperoleh sehari dua ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata beliau, pihaknya turut menahan tiga individu termasuk teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 302 kanun keseksaan.
Difahamkan, mayat mangsa ditemui dibuang di dalam sungai hasil penahanan suspek-suspek terbabit.
21 Disember lalu, media melaporkan polis memohon bantuan awam untuk mengesan remaja bernama Yap Xin Yuan yang hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras, 19 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan laporan kehilangan itu dibuat oleh keluarga mangsa pada pukul 2.15 pagi, sehari selepas kejadian.
Menurutnya, selepas latihan, remaja tersebut tidak pulang ke rumah sdan sebaliknya dikatakan mengikuti rakannya ke satu lokasi yang belum dapat dipastikan.
Mangsa dilaporkan mempunyai ketinggian 155 sentimeter, berat 39 kilogram, berbadan kurus, memakai pendakap gigi, berambut panjang, dan kali terakhir dilihat memakai baju tarian singa berwarna merah. – KOSMO! ONLINE.