JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi seorang wanita menunggang motosikal sambil membuat aksi ‘freestyle’ di jalan raya, lapor laman berita HaiJakarta semalam.
Dalam video mengenainya yang dimuat naik di laman Instagram, wanita separuh umur itu bukan sekadar menunggang motosikal secara berbahaya, malah dia tidak memakai topi keledar.
Dia kemudian ditahan oleh polis yang kebetulan melalui jalan di Tegal, wilayah Jawa Tengah itu.
Namun, belum pun sempat polis memberikan notis saman kepadanya, wanita tersebut secara tiba-tiba membuat beberapa gerakan aneh yang menampakkan dia kelihatan seperti dirasuk.
Menurut beberapa laporan, dia sekadar berpura-pura dirasuk bagi mengelak daripada disaman oleh polis.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Kalau terjatuh biarkan sahaja dan jangan ditolong. Hilang hormat kepada anda,” kata seorang netizen.
“Lebih baik mak cik uruskan suami, anak dan cucu. Menyusahkan orang lain sahaja,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI