fbpx

Mahkamah keluar waran tangkap Presiden Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Presiden Yoon Suk-yeol berucap semasa majlis Hari Gerakan Kemerdekaan ke-104 di Seoul pada 1 Mac 2023. - AFP

SEOUL – Mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Yoon Suk-yeol yang digantung tugas kerana membuat pengisytiharan undang-undang tentera di Korea Selatan, lapor saluran berita CNN hari ini. 

“Waran tangkap dan waran geledah terhadap Presiden Yoon Suk-yeol seperti diminta oleh Ibu Pejabat Siasatan Bersama dikeluarkan pagi tadi. 

“Tiada jadual ditetapkan untuk prosiding akan datang,” kata Ibu Pejabat Siasatan Bersama dalam satu kenyataan.

Media tempatan melaporkan, waran tangkap itu adalah yang pertama dikeluarkan terhadap seorang Presiden Korea Selatan ketika beliau masih berkuasa.

Pasukan yang menyiasat Suk-yeol kerana mengisytiharkan undang-undang tentera meminta waran tangkap dikeluarkan semalam selepas pemimpin berkenaan gagal hadir memberi keterangan buat kali ketiga.

Suk-yeol dipecat dan dilucutkan daripada tanggungjawab Presiden oleh Parlimen berikutan tindakannya mengakibatkan Korea Selatan terjerumus ke dalam krisis politik paling buruk dalam tempoh beberapa dekad. 

Namun, pemecatan oleh Parlimen itu perlu mendapat kelulusan Mahkamah Perlembagaan. 

Suk-yeol yang berfahaman konservatif juga berdepan tuduhan memberontak terhadap negara yang membawa penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Waran tangkap itu dikeluarkan kira-kira 33 jam selepas difailkan dan disifatkan media tempatan sebagai ‘masa paling lama dalam sejarah untuk pengeluaran waran tangkap’. 

Walaupun waran tangkap telah dikeluarkan, tidak jelas sama ada pasukan penyiasat berkenaan dan pihak polis dapat melaksanakannya.

Perkhidmatan Keselamatan Presiden sebelum ini enggan mematuhi tiga waran geledah.

Sementara itu, pasukan polis dikerahkan berkawal di luar kediaman Suk-yeol, tengah Seoul hari ini dalam usaha mengelakkan pergelutan atau sebarang kejadian tidak diingini yang lain. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI