PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengambil keterangan tiga kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi membantu siasatan berhubung kelulusan pemeriksaan kenderaan tidak menepati piawaian ditetapkan.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kesemua mereka terdiri daripada tiga pegawai iaitu dua daripada Puspakom Wangsa Maju dan seorang merupakan Pengurus Wilayah Tengah.
Katanya, kesemua mereka tiba di Ibu Pejabat JPJ kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
“Ya betul. JPJ telah panggil dan sedang ambil kenyataan daripada kakitangan Puspakom berkenaan.
“Kesemua mereka dipanggil JPJ dan telah diarahkan oleh pengurusan Puspakom untuk hadir memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, siasatan dilakukan oleh pihaknya melibatkan tiga elemen iaitu penguatkuasaan, teknikal dan integriti.
“Hasil siasatan nanti kita akan lihat ia menjurus kepada apa. Sekiranya ada kelemahan prosedur operasi standard (SOP) kita akan buat penambahbaikan.
“Jika perlu penambahbaikan kita akan bawa kepada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dan menteri akan umum langkah yang akan dilaksanakan oleh pihak Puspakom,” ujarnya.
Semalam media melaporkan , JPJ melaksanakan pemeriksaan mengejut melibatkan 25 premis Puspakom di seluruh negara.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 29 kenderaan dikenakan tindakan penguatkuasaan manakala 69 notis telah dikeluarkan membabitkan kesalahan antaranya penggunaan tayar celup dan lain-lain. – KOSMO! ONLINE