JAKARTA – Seorang lelaki diberkas selepas mengejar polis sambil membawa senjata tajam dalam keadaan mabuk, lapor laman berita Pantau semalam.
Suspek dikenali sebagai Mario, 20, bertindak demikian di Cengkareng, Jakarta Barat semalam.
Dia sebelum itu dilihat menghalang laluan sebuah bas akibat mabuk sekitar pukul 8.10 pagi (waktu tempatan).
Sepasukan polis yang berada di kawasan berdekatan kemudian bersiap siaga untuk berhadapan dengan suspek sambil mengacukan pistol.
Melihatkan keadaan itu, suspek menghampiri pasukan polis tersebut dan mengejar mereka serta cuba untuk menyerang mereka.
Serangannya bagaimanapun dapat ditangkis dan dia akhirnya ditangkap.
“Pasukan siasatan jenayah segera bertindak pantas dan berjaya menahan suspek. Pasukan Peronda Perintis Precision kemudian membawanya ke Balai Polis Cengkareng,” kata Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Komisioner Polis Ade Ary Syam Indradi.
Tambah Ade, suspek disahkan berada dalam keadaan mabuk ketika itu.
“Hasil ujian dadah bagaimanapun negatif. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. – AGENSI