PETALING JAYA – Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menerusi kertas kerja terbaharunya, bertajuk Mencari Golongan ‘Miskin’ dan ‘Kelas Pertengahan’ di Malaysia menyarankan pembahagian pengelasan baharu untuk merangka dasar lebih sesuai bagi menangani isu yang dihadapi kumpulan tertentu.
Seperti sebelum ini, ia mencadangkan pembahagian kepada tiga kelas utama, pertama ialah kelompok 20 peratus terbawah (B20), iaitu isi rumah yang tertumpu kepada memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pakaian.
Selain itu, kelompok 50 peratus pertengahan (M50) merupakan isi rumah yang menghadapi kompromi antara keperluan asas dan barangan aspirasi, menandakan kerentanan ekonomi; manakala 30 peratus teratas (T30) adalah isi rumah yang menunjukkan corak perbelanjaan aspirasi yang mencerminkan kelas pertengahan, tetapi tidak semestinya ‘kaya’ mengikut standard global.
Katanya, analisis KRI menunjukkan bahawa pengelasan semasa (B40, M40 dan T20) tidak mencerminkan realiti stratifikasi ekonomi isi rumah di Malaysia.
“Kebanyakan dasar menyamakan B40 dengan isi rumah miskin dan M40 dengan kelas pertengahan atau isi rumah ‘bercita-cita tinggi/kelas aspirasi’. Kertas kerja ini mendapati bahawa klasifikasi tersebut mungkin tidak lagi mencerminkan realiti kerana kumpulan isi rumah dalam kategori ini tidak memiliki corak perbelanjaan yang seragam.
“Corak perbelanjaan golongan antara B20 dan T30, yang boleh disebut sebagai M50, kelihatan agak seiras, dengan isi rumah dalam kumpulan ini masih menghadapi kompromi antara memenuhi keperluan asas dan membeli produk yang lebih beraspirasi.
“Walaupun sesetengah isi rumah mampu menikmati sedikit perbelanjaan tambahan, seperti makan di luar atau menghantar anak ke kelas tambahan, mereka masih mengalami kompromi dalam kesejahteraan dan taraf hidup,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, golongan M50 bukanlah kelas pertengahan sebenar dan masih terdedah kepada risiko ekonomi.
Oleh itu, lebih tepat untuk menyatakan bahawa hanya 30 peratus teratas daripada jumlah isi rumah tergolong dalam kelas pertengahan atau kelas aspirasi.
“Di Malaysia, dasar untuk menyokong golongan miskin sering dirangka di peringkat tempatan bagi menyesuaikan keperluan setempat, tetapi pengagihan dana untuk inisiatif ini memerlukan anggaran kasar dan pelaksanaan di peringkat nasional.
“Oleh itu, klasifikasi isi rumah yang tepat ke dalam kategori miskin atau kelas pertengahan adalah penting untuk perancangan kerajaan dan pengagihan sumber yang lebih berkesan,” katanya. -KOSMO! ONLINE