PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang membangunkan Model Prasekolah Malaysia Madani sebagai langkah meningkatkan akses pendidikan prasekolah di negara ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha tersebut merupakan salah satu langkah yang telah diambil KPM untuk memperkasakan pendidikan negara sepanjang tahun ini.
“Verifikasi (Model Prasekolah Malaysia Madani) dilaksanakan di 73 buah prasekolah terpilih di seluruh negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Fadhlina menyenaraikan pelbagai langkah yang telah diambil KPM untuk memperkasakan pendidikan negara sepanjang tahun 2024.
Katanya, perluasan kelas prasekolah baharu sebanyak 134 tahun ini melepasi sasaran 129 ditetapkan dan 100 peratus guru prasekolah KPM memiliki kelayakan minimum Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Kata beliau, KPM juga telah meningkatkan akses pendidikan dengan menyiapkan 41 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara.
Tambah beliau, sebanyak 11 perluasan Sekolah Komprehensif 9 (K9) di kawasan pedalaman bagi menangani keciciran murid pula telah dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Katanya, dalam aspek intervensi kurikulum, saringan pengesanan awal tahap literasi dan numerasi mengesan 122,063 murid belum menguasai asas membaca, menulis dan mengira (3M)
Fadhlina berkata, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk murid tahun ini diperluaskan kepada RM770.6 juta iaitu RM150 seorang yang memberi manfaat kepada 5.14 juta murid.
Kata beliau, sebanyak RM784.2 juta diperuntukkan untuk program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) pula memberi manfaat kepada 724,671 murid.
Kata Fadhlina, ekosistem pendidikan digital pula telah diperkukuh dengan 5.3 juta murid dan guru menggunakan pelantar pembelajaran pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa)
“Sebanyak 384 naik taraf institusi KPM seluruh negara sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan (COE) dengan pembekalan studio digital dan digital maker hub.
“Sebanyak 99 peratus sekolah mempunyai rakan strategik digital. Sebanyak 83.1 peratus guru telah melaksanakan ujian kompetensi digital,” katanya.
Fadhlina berkata, sebanyak RM90 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan menaik taraf 506 makmal sains serta 518 makmal komputer skala 5 di sekolah seluruh negara.
“Sebanyak 50 peratus sekolah rendah dan sekolah menengah telah terima peralatan sains baharu. Baki 50 peratus sekolah akan terima peralatan baharu pada 2025. Hab STEM dibangunkan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (|PGM),” katanya.
Beliau berkata, bagi menangani isu kekurangan guru, sebanyak 13,749 guru baharu lantikan tetap dan lantikan Contract of Service (CoS) ditempatkan di sekolah rendah dan menengah ke seluruh negara.
“Sebanyak 97.62 peratus pengisian guru sekolah rendah di seluruh negara. 95.16 peratus pengisian guru sekolah menengah di seluruh negara dan 1,372 guru baharu Pengambilan Khas Sarawak,” katanya.
Berkenaan inisiatif menggalakkan membaca di setiap peringkat, beliau berkata, sebanyak RM285.5 juta nilai baucar buku telah ditebus 3,560,673 pelajar KPM.
Kata beliau, sebanyak 10,010 institusi pendidikan di seluruh negara telah selesai membuat 100 peratus penebusan baucar buku berdasarkan data setakat 22 Disember 2024.
“Sebanyak 23.1 juta bahan dibaca murid menerusi Program Nilam. Angka-angka ini hasil keringat dan kerja keras seluruh warga KPM bersama agensi kerajaan lain sepanjang tahun 2024.
“Tahun 2024 hampir melabuh tirainya. Kita telah bersedia untuk tahun 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE