KUALA SELANGOR – Kegagalan menampung kapasiti air setinggi tiga meter dipercayai punca benteng kolam takungan air berdekatan Taman Seri Alam, Saujana Utama, dekat sini, pecah sehingga berlaku banjir, kelmarin.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, reka bentuk kolam milik sebuah syarikat pemaju itu hanya menampung tadahan air setinggi dua meter.
Jelas beliau, paras air pernah melebihi jumlah itu namun kembali terkawal dalam tempoh satu hingga dua jam.
“Namun, insiden kali ini berlaku berikutan kolam itu menampung air yang banyak dalam tempoh lama sekali gus menyebabkan limpahan dan tebingnya pecah.
“Ia juga mungkin ada kelemahan reka bentuk kolam yang perlu diperbaiki pihak pemaju,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi itu, lewat petang tadi.
Menurut Izham, pihaknya telah menemui pemaju bagi meneliti langkah jangka masa pendek termasuk pengukuhan tebing dengan membina semula struktur dan mendalamkan lagi kolam.
“Bagi jangka masa panjang, kita juga turut meneliti untuk menaik taraf parit dan longkang di sekitar kawasan itu bagi menampung kapasiti aliran air,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE